arena

Salah sendiri, bukan padang

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan mengakui faktor padang bukan menjadi punca pasukannya tunduk kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Biarpun sebelum ini mendakwa mutu padang stadium berkenaan adalah antara yang kurang sempurna di negara ini, beliau sebaliknya menyalahkan anak buahnya yang gagal beraksi dengan baik selain kerap hilang bola sepanjang perlawanan.

"Tahniah kepada TFC kerana mereka beraksi dengan baik dan sememangnya layak untuk menang, kemenangan itu bukan kerana nasib tetapi mereka berhak menang dengan lebih banyak mencipta peluang berbanding kita walaupun pemain kita tertampan bola ke gol sendiri.

"Jika kita lihat pemain TFC sanggup berlari tetapi kita jalan kaki main bola, saya nampak hantaran kita yang melumpuhkan pertahanan kerana asyik hilang bola sedangkan TFC tidak hilang bola.

“Malah, 20 minit terakhir kita keletihan kerana tidak boleh mengawal bola.

"Saya nak bagi alasan kekalahan disebabkan padang tidak boleh kerana ada sedikit air disebabkan hujan sebaliknya kita perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak bermain dengan baik," ujar Sathianathan.

Pada perlawanan itu, jaringan sendiri kapten, K Sarkunan pada minit ke-90 selepas tertampan bola ke mulut gol pasukannya meranapkan impian skuad Red Giants itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas tumpas 0-1.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 11:31am
d