arena

'Mereka tak gentar lagi'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria mengakui bahawa pemain muda negara sudah tidak gentar untuk berdepan jagoan dunia selepas berjaya memberi tentangan di Piala Sudirman minggu lalu.

Menurutnya, pemain muda negara seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia berjaya beraksi dengan baik walaupun Malaysia tidak menurunkan lima Olimpian seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Datuk Lee Chong Wei.

“Bagi saya mereka menunjukkan prestasi sangat baik dan tidak gentar dengan negara kuasa besar. Mereka ini sudah sedia untuk hadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, sebelum ini dengan penghijrahan pemain senior secara besar-besaran menjadi profesional dan ketiadaan Chong Wei ramai yang melihat bahawa Malaysia sudah seperti tidak mempunyai harapan.

“Bagaimanapun, kita dapat lihat sinar baru dan kebangkitan yang dipamerkan pemain muda. Ini bermula daripada kita memberi ruang kepada pemain muda sejak kelayakan Piala Thomas di Alor Setar tahun lalu.

“Sekarang kita sudah nampak hasil, mereka tidak gentar untuk berdepan kuasa besar. Sebelum ini rata-rata pemain BAM hanya akan menyinar selepas berusia 25 tahun ke atas tapi sekarang mereka sudah menunjukkan kematangan awal,” kata Norza.

Malaysia sekali lagi terkandas di suku akhir Piala Sudirman minggu lalu mengulangi pencapaian 2015 dan 2017.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik hampir menumpaskan gandingan nombor tiga dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen dalam aksi pertama peringkat kumpulan, manakala Zii Jia pula memalukan pemain ranking ke-13 dunia Sameer Verma (India).

Gandingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga berjaya memberi tentangan sengit kepada pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda ketika aksi suku akhir.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 7:02pm
d