arena

Resah pemain 'angkat kaki'

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah ‘pening kepala’ selepas mengetahui beberapa pemain utamanya kini dipancing pasukan lain sebelum jendela kedua perpindahan pemain menutup tirainya pada 29 Mei ini.

Pendedahan itu sudah pasti memberi tamparan hebat bukan saja kepada jurulatih terbabit tetapi juga kepada pasukan yang kini bukan saja bergelut dengan masalah dalaman, malah turut menduduki tangga terakhir Liga Perdana dengan 9 mata.

“Saya mendengar perkara sedemikian, saya tidak menolak kemungkinan pemain-pemain saya dipancing pasukan lain pada jendela kedua ini yang tinggal beberapa hari saja lagi.

“Sungguh pun begitu, saya beri mereka keputusan terbaik untuk menilai seandainya mereka ingin keluar tetapi ini adalah asam garam dalam bola sepak, saya tidak boleh menyekat mereka keluar kerana itu peluang bagi mereka meningkatkan dan menyebarluaskan bakat mereka.

“Tetapi hakikatnya di sini (Kelantan) mereka berpeluang beraksi bersama pasukan, namun begitu saya harap perkara itu tidak berlaku dan harap mereka kekal bersama dengan kami hingga hujung musim ini,” ujar Yusri yang enggan mendedahkan nama pemain berkenaan.

Antara pemain yang dikatakan bakal ‘angkat kaki’ termasuk Nik Azli Nik Alias, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Danial Haqim Draman.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, Kelantan berkongsi satu mata dengan Terengganu FC II selepas terikat 2-2.

Dalam pada itu, Yusri berkata, beliau mahu mendapatkan tambahan pemain import terutama bagi posisi penyerang untuk memperkuatkan pasukan itu dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga) musim ini.

“Dengan hanya seorang pemain import di posisi pertahanan ketika ini iaitu Cassio Fransisco, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diharapkan dapat mencari pemain import yang boleh membantu pasukan itu keluar daripada dasar liga yang masih berbaki enam perlawanan lagi.

“Saya memikirkan posisi penyerang begitu penting pada masa ini dan berharap pemilihan itu nanti biarlah bersesuaian dengan taktikal pasukan.

“Jika diberi peluang, saya sudah ada calon sendiri tetapi tunggulah pertemuan dengan KAFA selepas ini untuk kata putus dan harap dapat capai hasil yang baik sebelum pintu perpindahan ditutup pada 29 Mei ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 8:26pm
d