arena

Atalanta cipta sejarah, Milan gigit jari

Oleh AFP

ATALANTA mencipta sejarah apabila kali pertama layak ke Liga Juara-Juara di samping Inter Milan dan Empoli pula tersingkir di San Siro.

AC Milan menamatkan kedudukan di tempat kelima walaupun menang di SPAL. Genoa dan Fiorentina kekal dalam saingan Serie A selepas seri tanpa jaringan.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Inter, Atalanta, AC Milan dan Roma bertarung merebut dua lagi slot Liga Juara-Juara dan Empoli menyedari hanya dengan kemenangan dapat menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Atalanta yang stadium mereka sedang diubahsuai terpaksa bermain di Sassuolo dan mereka ketinggalan pada minit ke-19.

Duvan Zapata menyamakan kedudukan buat Atalanta sebelum rehat. Penjaring gol Sassuolo, Domenico Berardi dilayangkan kad merah selepas terbabit perbalahan dan Atalanta pantas mengambil kesempatan dengan dua gol lagi menerusi Alejandro Gomez dan Mario Pasalic untuk kemenangan 3-1.

"Musim yang luar biasa bagi kami,” kata Presiden Atalanta, Antonio Percassi kepada Sky Sport.

"Tahniah pertama saya kepada (jurulatih Gian Piero) Gasperini untuk seumur hidup. Dia sudah pasti terus kekal untuk musim depan.”

Sementara itu di Ferrara, Milan mendahului dua gol di SPAL menerusi Hakan Calhanoglu dan Franck Kessie tetapi Francesco Vicari dan Mohamed Fares menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Kessie muncul penyelamat AC Milan apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti untuk keputusan 3-2.

Di San Siro, Inter membawa masuk Keita Balde pada babak kedua selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan dan menamatkan kebuntuan jaringan menerusi percubaan solo enam minit kemudian namun dilayangkan kad kuning susulan meraikan jaringan dengan membuka jersinya.

Empoli menyamakan kedudukan menerusi Hamed Traore yang mendapat hantaran Salih Ucan daripada sebelah kiri namun lima minit kemudian Radja Nainggolan muncul pemusnah Empoli apabila menolak bola muntah untuk gol kemenangan Inter.

Kemenangan 2-1 menyelamatkan Inter dan mara ke Liga Juara- Juara musim depan dan menyingkirkan Empoli dari Serie A.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 7:26am
d