arena

Sarri pengurus baru Juventus?

Oleh Agensi

PENGENDALI Chelsea, Maurizio Sarri dilaporkan bersetuju dengan tawaran Juventus selepas Pep Guardiola menolak hasrat gergasi Serie A itu.

Juventus mencari perngurus baru susulan pengumuman Massimiliano Allegri yang akan meninggalkan kelab pada penghujung musim.

Pengurus Manchester City, Guardiola menjadi sasaran nombor satu tetapi jurulatih dari Sepanyol itu tidak berminat meninggalkan jawatannya.

Sarri yang memiliki rekod cemerlang ketika bersama Napoli dijangka memulakan tugas di Juventus selepas tamat final Liga Europa menentang Arsenal pada awak pagi Khamis ini.

Selain Sarri, Antonio Conte dan Jose Mourinho juga menarik minat Juventus tetapi menurut laporan portal sukan SNAI, Sarri telah pun mencapai persetujuan dengan kelab itu untuk menggantikan Allegri.

Laporan itu mendakwa Sarri bakal menerima gaji £6.1 juta (RM32.52 juta) dengan kontrak tiga tahun tetapi hanya akan diumumkan secara rasmi selepas tamat final Liga Europa di Baku.

Sarri teruk dikritik penyokong Chelsea selepas berdepan musim mengecewakan di England tetapi dia berpeluang meraih trofi pertama sebagai pengurus apabila berdepan Arsenal pada final Liga Europa.

Spekulasi masa depan Sarri bersama Chelsea dijangka menemui noktah pada awal pagi Khamis ini manakala Frank Lampard dianggap calon pilihan menggantikannya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 9:40am
d