arena

Bangga pemain kota janji

Oleh Rizar Mohd Noor

TIADA apa yang mampu diungkap pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa selain daripada ucapan terima kasih buat setiap pemain yang mengotakan janji untuk membenam Kedah 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Malah Figueroa teruja dengan kualiti permainan barisan skuad Harimau Selatan sambil menyifatkan ia permainan terbaik pasukan itu selepas menguasai keseluruhan perlawanan tanpa memberi ruang kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak melakukan percubaan berbahaya.

Beliau berkata, pertembungan menentang skuad Lang Merah jelas begitu sukar tetapi pemain JDT bagaikan mengetepikan kesukaran itu apabila kerap bergerak secara berpasukan dan menguasai posisi tengah menyebabkan pemain lawan seolah-olah hilang arah.

“Kita tahu Kedah adalah pasukan bagus dan mereka dibarisi pemain hebat namun taktikal yang kami bentuk untuk berdepan aksi yang sukar berjaya diatasi dan pemain melakukan tugas dengan baik malah segala usaha membuahkan hasil apabila meraih tiga mata.

“Tidak dinafikan kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi sering dikecewakan sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol. Tapi mereka terus berusaha dan hasilnya kemenangan menjelma dan ia ibarat pulangan yang lumayan.

“Faktor kepenatan juga menjejaskan sedikit rentak permainan tatkala kami baru pulang dari Korea selepas mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan hanya ada tempoh tiga hari untuk buat persiapan namun semangat kental pemain mengatasi segalanya,” katanya.

Mengulas persembahan Diogo Luis Santo yang tampak kerap memberi sumbangan dibarisan serangan, Figueroa menjelaskan peranan pemain itu tidak semestinya menjaringkan gol sebaliknya menjadi [pengacau’ di posisi berkenaan dan membuka ruang buat rakan sepasukan melakukan percubaan berbahaya.

Malah katanya, S Kunanlan yang pada awal musim hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sudah mula menunjukkan kredibiliti sebenar apabila mempamerkan aksi terbaik sepanjang saingan liga dan ACL.

“Saya juga bangga dengan komitmen Mauricio (Nascimento), walaupun mengalami kecederaan ketika menentang Gyeongnam FC namun dalam tempoh tiga hari dia bersungguh-sungguh untuk pulih dan tetap mahu diturunkan tanpa menghiraukan keacederaan yang dialami.

“Saya akan beri rehat selama lima hari kepada pemain dan kemudian mereka akan kembali menjalani latihan bagi meneruskan kesinambungan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan kerana kita sudah berada di landasan dan tidak boleh tergelincir,” kata Figueroa.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 8:16pm
d