arena

MSN turutkan 'rentak' Syakilla

Oleh Azlan Muhammad Zain

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memenuhi kehendak atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan bagi memastikan dia layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Hasratnya untuk berlatih bersama bekas jurulatih negara, Andris Vasiljevs ditunaikan MSN namun perlu menjalani latihan dalam negara dan mengubah kategori berat badan yang disertai.

“Dia mempunyai empat bulan untuk membuktikannya dengan bersaing bagi kategori Bawah-55 kilogram. Beratnya kini lebih 60kg,” jelas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Tambahnya, Syakilla akan menjalani latihan di Lembah Klang dengan kejohanan pertama adalah K1 Premier League di Tokyo dari 6 hingga 8 September.

“Kejohanan di Jepun adalah ujian pertamanya untuk kekal dalam program. Kami percaya dia mampu menurunkan berat badan dalam tempoh yang ada,” katanya.

Peluang terakhir untuk Syakilla layak ke Tokyo adalah muncul tiga atlet terbaik pada kejohanan kelayakan di Paris dari 8 hingga 10 Mei tahun depan.

Tambah Ahmad Shapawi, Vasiljevs yang meninggalkan skuad karate negara hujung tahun, diberikan kontrak jangka pendek khusus bagi melatih Syakilla.

Karate adalah antara sukan baru yang bakal dipertandingkan di Olimpik 2020.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 10:26pm
d