arena

Permulaan sempurna

Oleh AFP

JUARA bertahan Rafael Nadal mencetus permulaan sempurna untuk misi merebut gelaran ke-12 Terbuka Perancis dengan mengetepikan cabaran pemain kelayakan Jerman Yannick Hanfmann pada pusingan pertama di Roland Garros hari ini.

Juara Grand Slam 17 kali itu meraih kemenangan 6-2, 6-1, 6-3 di Court Philippe Chatrier untuk bertemu seorang lagi pemain kelayakan Jerman, iaitu pemain nombor 114 dunia Yannick Maden pada pusingan kedua.

Nadal berdepan tiga kekalahan separuh akhir berturut-turut pada musim gelanggang tanah liat namun mempamerkan aksi terbaiknya apabila merangkul Terbuka Itali dengan menewaskan seteru lamanya Novak Djokovic, sementara rekod kemenangan di Terbuka Perancis kini adalah 87-2.

“Sesuatu yang menakjubkan bermain di sini, lapangan baharu Chartier amat hebat,” kata pilihan kedua itu.

“Ia tempat yang penting dalam karier saya.

“Saya beraksi dengan baik di Rome dan ia penting untuk keyakinan saya. Sekarang kita lihat apa akan berlaku.”

Nadal, 32, mendahului 3-0 pada set pertama sebelum mematahkan servis kedua pada game kelapan dalam tempoh hanya 40 minit.

Set kedua jauh lebih pantas apabila Nadal mencatat sembilan winner mengatasi lawan yang terus ketinggalan.

Kemenangan disahkan apabila Nadal mematahkan servis selepas aksi berlarutan untuk kelebihan 2-1 pada set ketiga dan pemain Sepanyol itu menyudahkan misinya ketika pukulan Hanfmann, pemain nombor 184 dunia tersasar jauh.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 10:53pm
d