arena

Aubameyang, Lacazette nadi kejayaan Gunners

Oleh AFP

ARSENALl mengidam trofi Eropah pertama mereka dalam tempoh 25 tahun apabila menentang Chelsea pada final Liga Europa, awal pagi Khamis ini dan harapan untuk merealisasikan impian itu disandarkan di bahu Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette.

Selepas gagal menamatkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana, skuad Unai Emery berpeluang menebus kehampaan dengan menjulang trofi Liga Europa.

Jika menang, Arsenal akan meraih trofi Eropah pertama mereka sejak muncul juara Piala Pemenang Piala pada 1994 dan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika Gunners berdepan kerapuhan benteng pertahanan yang dibolosi 51 gol musim ini, Emery tahu dia dicemburui rakan sejawatan di Eropah apabila memiliki Lacazette dan Aubameyang.

Gandingan kedua-duanya sudah menjaringkan 50 gol musim ini dengan Lacazette meledak 19 jaringan dan dinamakan pemain terbaik kelab oleh penyokong Arsenal.

Jumlah jaringan itu diatasi Aubameyang yang menggegar gawan lawan sebanyak 31 kali termasuk hatrik ketika membenam Valencia pada aksi separuh akhir kedua dan 22 gol lagi bagi membolehkannya berkongsi Kasut Emas besama penyerang Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah pada musim pertamanya di England.

"Saya memberikan apa sahaja dalam usaha membawa Arsenal ke kelompok empat terbaik dan menjulang trofi,” kata Aubameyang. "Saya gembira musim ini walaupun bukan yang terbaik tapi saya tetap puas hati.”

Lacazette pula mungkin kurang menonjol berbanding Aubameyang dari segi jumlah jaringan tetapi bekas bintang Lyon itu menegaskan dia telah mempamerkan karier terbaiknya sebagai pemain bola sepak musim ini.

"Memberi sumbangan tanpa menjaringkan gol juga sangat penting kepada pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 9:28am
d