arena

Bukan omong kosong - Syed Saddiq

Oleh Ferzalfie Fauzi

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan hasrat juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk membeli sebuah kelab Liga Malaysia bukan omong kosong.

Menurutnya, bukan beliau seorang saja yang berada dalam mesyuarat Khamis lalu dan turut mendengar perkara berkenaan dibincangkan ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

"Pegawai saya dan pegawai mereka pun ada, semua dengar (berkaitan pembelian kelab Malaysia) dan sebelum sidang media juga saya memaklumkan untuk bercakap mengenai dua perkara berkenaan.

Ia dipersetujui," katanya ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Warga Belia dan Sukan, semalam.

Ujarnya, CEO Manchester City, Ferran Soriano juga berada di sebelahnya ketika sidang media itu dan beliau sendiri bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Kita akan cuba yang terbaik untuk menjadikan perkara itu terlaksana dan ketika itu memang masih belum ada kata putus lagi.

Media yang hadir juga hanya melaporkan perkara ini masih dalam tanda tanya.

"Saya rasa ada orang yang tidak boleh menerima perkara ini. Bagaimanapun, bagai saya ia tidak mengapa, asalkan kami bekerja keras untuk menjadikan perkara ini bukan satu yang mustahil," katanya.

Jelasnya, kerjasama antara City sangat penting untuk masa depan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD). "Saya rasa perkara ini sudah jelas dan ia adalah untuk pembangunan bola sepak Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai tiada wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Syed Saddiq berkata, ia disebabkan pertemuan dengan pihak luar dan dimaklumkan perkara berkenaan pada saat akhir.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak CIMB, Tengku Zafrul kerana berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Apa saja perkara kita akan maklumkan kepada pihak FAM juga," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 2:50pm
d