arena

Dua pemain Perak dipinjam PKNP

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA pemain bola sepak Perak, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim dipinjamkan ke pasukan adik, PKNP FC bagi membantu kelab itu untuk kekal dalam Liga Super musim ini.

Keputusan itu dibuat bagi membantu kelab itu yang kini berada pada kedudukan bahaya apabila menghuni tangga kedua tercorot liga sekali gus bakal menyaksikan pasukan terbabit tergelincir ke Liga Perdana musim depan jika tercicir mata pada baki tujuh perlawanan.

Pengendali skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, proses peminjaman sementara itu sudah dilakukan oleh kedua-dua pengurusan pasukan hari ini dan dua pemain itu akan mula bermain dengan PKNP FC pada perlawanan akan datang.

Katanya, beliau mahupun pengurusan Perak tidak mempunyai masalah meminjamkan pemain mereka kepada pasukan berkenaan kerana dua pasukan itu adalah pasukan adik-beradik

"Kita bagaikan sebuah keluarga dan kita berikan pemain muda dan bagus kepada pasukan PKNP bagi membantu meningkatkan prestasi pasukan musim ini.

"Kita harapkan kedua-dua mereka dapat membantu pasukan dan Perak akan beri bantuan sebanyak mana yang kami mampu," katanya ketika ditemui selepas Program Membeli-belah Pemain Perak bersama penghuni Pusat Jagaan Miskin dan Anak Yatim Nurul Iman Kampung Manjoi di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan peminat bola sepak Perak agar Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kembali ke pangkuan PKNP FC, pengurus The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata, pasukannya masih memerlukan khidmat pemain berusia 25 tahun itu untuk kekal bermain dalam pasukan Perak musim ini.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 8:14pm
d