arena

Bayern sukar dapat khidmat Sane

Oleh AFP

PRESIDEN Bayern Munich Uli Hoeness mengakui mereka berdepan situasi ‘sukar’ untuk menandatangani pemain sayap Manchester City, Leroy Sane.

Pemain kebangsaan Jerman, Sane, 23, dikaitkan bakal menyertai Bayern sejak beberapa minggu lalu selepas laporan mendakwa pemain itu tidak gembira selepas kurang diberi peluang beraksi di Manchester.

Hoeness mengesahkan minggu lalu bahawa Bayern menaruh minat terhadap Sane, namun membayangkan pemain itu mungkin terlalu mahal buat juara Bundesliga berkenaan.

“Saya tidak mempunyai angka yang tepat, namun saya fikir ia kemungkinan sangat sukar dari segi kewangan,” kata Hoeness kepada majalah Sport Bild.

Bayern memecah rekod perpindahan awal tahun ini apabila menandatangani pemain pertahanan Atletico Madrid, Lucas Hernandez untuk 80 juta Euro (RM374.41 juta), namun Hoeness berkesempatan membelanjakan lebih daripada itu untuk seorang pemain.

Beberapa personaliti terkenal dalam bola sepak Jerman menyarankan Bayern menandatangani Sane, termasuk jurulatih skuad kebangsaan Joachim Loew dan bekas pemain Bayern dan kapten Jerman Lothar Matthaeus.

“Jika dia berjaya ke Bayern, ia pastinya perkara yang bagus buat dirinya dan kami,” kata Loew pada sebuah majlis anjuran Bild newspaper pada Sabtu.

“Saya yakin bahawa Sane akan pergi ke Bayern,” catatan Matthaeus dalam ruangannya di Sky Sports pada Isnin.

“Apabila Uli Hoeness secara umum mengakui meminati pemain, kemudian pemain itu biasanya menjadi milik Bayern.”

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 8:54pm
d