arena

Liverpool belum 'berhak' juara: Robertson

Oleh Reuters

LIVERPOOL tidak akan terjerat dengan perangkap menyatakan mereka ‘berhak’ memenangi Liga Juara-Juara selepas kempen domestik mengagumkan namun berakhir tanpa sebarang trofi, menurut pertahanan Andy Robertson.

Pertahanan kiri itu antara tonggak utama Liverpool mencabar kejuaraan liga yang berakhir di tangga kedua di sebalik hanya kalah sekali dan 97 mata, apabila Manchester City mengatasi mereka dengan satu mata.

Pemain kebangsaan Scotland itu berkata, idea mereka berhak menang trofi disalah tafsir dan sebarang kejayaan menentang Tottenham Hotspur hanya diraih dalam tempoh 90 minit di Madrid, awal pagi Ahad ini.

“Saya dengar beberapa orang bercakap mengenainya, tapi bagi saya kami belum berhak memenangi apa-apa lagi,” katanya.

“Liga Perdana membuktikannya. Ramai orang menyatakan 97 mata patut memenangi Liga Perdana, tapi ia tidak kerana Manchester City mengumpul 98.

“Mereka lebih bagus sedikit berbanding kami akhirnya. Kami tidak berhak apa-apa, hanya apa yang kami persembahkan dalam perlawanan dan apa yang kami dapat selepasnya.

“Jika kami berusaha 100 peratus dan bermain baik, beraksi sebaik mungkin, maka kami berhak. Tapi kami tidak akan hadir pada perlawanan itu memikirkan kami berhak kerana kami mempunyai musim yang bagus dan meraih 97 mata. Tidak sama sekali. Bodohlah kami jika berfikiran sebegitu.”

Robertson, yang akan menjadi kunci utama menentang Spurs yang sering kali suka mengasak di sayap kanan berkata, pendekatan tepat diperlukan untuk menentang anak buah Mauricio Pochettino.

“Mereka mengalahkan kami musim lalu dan jika mereka bertindak sebegitu maka kami berdepan kesukaran menentang pasukan fantastik dengan pemain fantastik.”

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 12:49pm
d