arena

Agilan 'dah ready' layan Akiyama [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JAGUH seni bela diri campuran (MMA) Malaysia, Agilan Thani bakal menggegar di Kejohanan ONE Championship ‘Legendary Quest!’di Baoshan Arena, Shanghai, China pada 15 Jun depan menentang atlet Jepun, Yoshihiro Akiyama.

Pastinya pertarungan utama ini dinanti peminat tempatan yang mengharapkan kebangkitan semula atlet berusia 23 tahun itu selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut di hadapan penyokong sendiri pada Julai dan Disember 2018.

Menurutnya, misinya jelas untuk menjadi juara namun sedar kelebihan lawan selaku bekas juara K-1 Light Heavyweight Grand Prix Tournement.

Agilan berkata, dia tidak sabar untuk pertarungan sulung menentang lawan lebih berpengalaman itu yang dikatakan mahir judo, karate, tinju, ‘kickboxing’ dan gusti.

“Saya sudah bersedia 100 peratus untuk perlawanan ini dengan latihan lebih sistematik. Sebelum ini latihan tidak konsisten hingga memberi kesan kepada tubuh.

“Sukan ini banyak membabitkan pergerakan tubuh, jika setiap hari buat latihan berat seperti berlari, berlawan juga tidak baik untuk tubuh dan mental.

“Jadi, sekarang ada strategi latihan dan terkawal. Hanya sejam saja untuk latihan berat bermula jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi, rehat empat jam dan sambung semula dengan latihan ringan dan pemulihan aktif,” katanya dalam temubual di studio The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur.

Agilan yang menguasai seni jiu jitsu Brazil (BJJ) selain karate, mempunyai rekod sembilan kemenangan dan tiga kekalahan dalam pertandingan profesional berkata, dia melakukan latihan menyeluruh bagi meningkatkan kemahiran menyerang dan bertahan.

Katanya, dia dibimbing jurulatih BJJ,Conrado Roveri, Bruno Barbosa dan Samir Mrabet di gimnasium Monarchy MMA bagi mengasah kemahiran seni mempertahanan diri untuk menjadi juara 'ONE Welterweight World Championship'.

"Banyak yang saya belajar apabila tewas dalam dua perlawanan terakhir tahun lalu.

"Kekuatan saya terletak pada disiplin yang tinggi dan mampu berlatih dengan kuat.

"Namun, satu kelemahan saya yang perlu diatasi adalah kurang keyakinan diri ketika bertarung," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 3:16pm
d