arena

Megat CDM Sukan Para Asean

Oleh Saiful Affendy Sapran

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) sebulat suara memilih Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebagai chef de mission (CDM) negara ke Sukan Para Asean Ke-10 Filipina 2020.

Pemilihan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) itu dipersetujui oleh Ahli Lembaga EXCO MPM menerusi surat yang ditandatangani presiden majlis itu, iaitu SM Nasarudin SM Nasimuddin pada 3 Mei.

Naib Presiden MPM, Datuk R Subramaniam berkata, terdapat tiga calon pendek untuk menggalas tugas itu, namun MPM bersetuju untuk memilih Megat.

"MPM mengeluarkan surat tawaran kepada semua ahli gabungan dan selepas itu kami menerima tiga pencalonan.

Mesyuarat kemudian memutuskan untuk memilih Megat sebagai CDM di Filipina," katanya.

Sementara itu, Megat mengakui kepercayaan yang diberikan oleh MPM itu adalah satu tugas yang berat untuknya.

"Ini adalah satu pengiktirafan yang besar kepada diri saya dan atas faktor itu, saya tidak mahu mengecewakan negara.

"Saya akan cuba memastikan kontinjen negara meraih sebanyak mungkin pingat. Dengan pasukan yang ada, tidak mustahil untuk kami mendapat keputusan yang baik.

"Bagaimanapun masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran pingat," katanya.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, kontinjen negara muncul naib juara selepas mengumpul 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa di belakang juara keseluruhan, Indonesia yang meraih 126 emas, 74 perak dan 50 gangsa.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 3:32pm
d