arena

Terengganu kekalkan Chantha Bin

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN import Terengganu, Thierry Chantha Bin boleh menarik nafas lega selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat pusingan U mengekalkan pemain kelahiran Kemboja itu daripada digugurkan semalam.

Chantha Bin yang sebelum ini berada dalam radar PBSNT antara pemain yang bakal disingkirkan bersama pertahanan kelahiran Montenegro, Igor Zonjic selepas mempamerkan aksi tidak konsisten.

Pemain tengah itu dikekal berikutan usaha badan induk bola sepak negeri itu untuk memancing pemain kelahiran Thailand gagal.

Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, pihaknya mengekalkan Chantha Bin selepas hasrat untuk mengikat pemain kelahiran Thailand, Sansern Limwatthana menemui kegagalan kerana tidak dilepaskan kelabnya.

"Selepas gagal menggunakan khidmat pemain tengah Thailand itu, kita berusaha membawa masuk pemain Kemboja yang pernah beraksi bersama Pahang dan PKNS, Chan Vathanaka tetapi tidak berjaya atas beberapa faktor.

"Justeru kita mengambil keputusan untuk mengekalkan Chantha Bin dalam pasukan,” katanya.

Mengenai pertahanan import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo, pula Ahmad Shahrizal berkata, pemain berusia 27 tahun yang pernah menyarung jersi kelab Ferroviaria dalam Serie D Brazil itu bakal tiba awal Jun ini.

"Dia akan menggantikan tempat Igor Zonjic yang digugurkan. Kontrak bekas pemain yang pernah menyarung jersi Manama Club dalam Liga Bahrain itu akan diikat sehingga November depan.

“Kehadirannya diharapkan mampu memantapkan lagi jentera pertahanan terutama aksi pertamanya menentang Melaka United pada 15 Jun depan di tempat lawan," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 5:58pm
d