arena

Benitez turun ilmu buat Klopp, Poch

Oleh Reuters

RAFAEL Benitez yang menjadi perancang antara kebangkitan paling menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara mempunyai nasihat buat bekas kelabnya, Liverpool dan Tottenham menjelang aksi final di Madrid, awal pagi Ahad ini.

Katanya, jika sesuatu mula tidak menjadi, nasihatnya adalah kekal tenang dan buat perubahan taktikal.

Sebelum mengesahkan tiket final, Liverpool bangkit daripada kekalahan 0-3 di Barcelona bagi aksi separuh akhir pertama sebelum mara selepas menang pada aksi kedua 4-0 di Anfield.

Tottenham pula mengatasi defisit tiga gol ketika menentang Ajax Amsterdam dengan meledak tiga kali dalam tempoh 40 minit terakhir.

Benitez, yang kini mengendalikan Newcastle United adalah jurulatih Liverpool ketika final 2005 yang menyaksikan skuad kendaliannya menjulang trofi Eropah kelima sekalipun ketinggalan 0-3 kepada AC Milan pada babak pertama.

Selepas mengikat kedudukan 3-3 tamat masa perlawanan, mereka memenanginya menerusi penentuan penalti.

“Pertama sekali adalah tenangkan semua orang, pastikan mereka tidak tertekan dan mempunyai rasa percaya dan keyakinan, selepas itu cuba laksanakan apa yang perlu dilakukan dari sudut posisi,” kata Benitez.

“Kami berdepan Kaka (Milan) di bahagian tengah yang sentiasa berbahaya jadi kami perlu menguruskan situasi itu dengan Dietmar Hamann dan kemudian kami meraih lebih kawalan di bahagian tengah. Kemudian, ia bergantung kepada mereka (pemain), mereka amat kuat, amat bagus dan mereka melakukan yang selebihnya.”

Kebangkitan menakjubkan itu mengakhiri penantian 21 tahun Liverpool untuk memenangi trofi elit Eropah itu tetapi selepas itu, mereka tewas dua penampilan terakhir di final 1-2 pada edisi 2007 kepada Milan dan 1-3 kepada Real Madrid musim lalu.

Selepas mengharungi musim menakjubkan dalam Liga Perdana dengan mengumpul 97 mata tetapi tewas kepada Manchester City, skuad kendalian Juergen Klopp hadir ke Wanda Metropolitano sebagai pilihan.

Benitez memuji kedua-dua pengendali, Klopp dan rakan sejawatnya di Spurs, Mauricio Pochettino yang dianggap sudah melakukan tugas dengan cemerlang dan berhak untuk berada di pentas final.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 11:53am
d