arena

Woods mula mantap di Memorial

Oleh AFP

TIGER Woods memulakan pemburuan terkini untuk menyamai rekod Sam Snead bagi jumlah kejuaraan dalam Jelajah PGA AS dengan dua bawah par 70 awal pagi tadi sekali gus meletakkannya lima pukulan di belakang pendahulu Ryan Moore pada Kejohanan Memorial.

Woods, bekas pemain nombor satu dunia, bermain buat kali pertama sejak terlepas ‘cut’ pada Kejuaraan PGA, membenam birdie dua daripada tiga lubang terakhir untuk kekal bersaing dengan Moore, yang mencatat tujuh bawah par 65.

Pemain berusia 43 tahun itu, pemenang lima kali di Memorial, boleh menyamai catatan rekod Snead dengan 82 kemenangan Jelajah PGA jika menang hujung minggu ini di Muirfield Village di Dublin, Ohio.

Pemenang 15 gelaran utama itu, yang melengkapkan kemunculan semulanya hampir dua tahun kerana kecederaan dengan memenangi Masters AS April lalu, kelihatan selesa sepanjang pusingan pertama awal pagi tadi.

Woods yang tersenyum puas hati dengan pusingannya sekalipun dia berkata, patut menggunakan kesempatan susulan lapangan basah.

“Ia satu daripada hari yang mana ia mungkin mudah untuk mendapat birdie,” kata Woods. “Saya berasa seperti boleh mendapat beberapa lagi. Ia basah di luar sana. Ia pasti memudahkan anda.

“Jika anda lihat sesetengah catatan hari ini, mereka mengambil kesempatan itu.”

Moore, penduduk Pacific Northwest yang sering dilanda hujan berkata, hujan melembutkan lapangan dan sesuai dengan corak permainannya.

Pemain berusia 36 tahun itu, yang menang kali terakhir pada 2016 berkata, melakukan pukulan putt secara konsisten menjadi kunci utama pusingan cemerlangnya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 12:28pm
d