arena

Ducati sedia kekang Marquez

Oleh AFP

JUARA dunia, Marc Marquez berdepan cabaran pelumba Ducati yang bertekad untuk menyekat sensasi Sepanyol itu daripada melakar kemenangan kali keempat pada Grand Prix Itali di Mugello, hujung minggu ini.

Marquez yang juga juara MotoGP lima kali, memenangi perlumbaan di Le Mans dua minggu lalu sekali gus menyaksikan pengeluar dari Jepun itu melakar kemenangan ke-300 dalam kelas perdana itu.

Ia kemenangan ke-47 buat Marquez dan ketiga musim ini sekali gus mengatasi seteru utama dari Ducati, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci.

“Melihat tiga jentera Ducati dalam empat kelompok teratas satu perkembangan amat positif dan kami mahukan keputusan seperti itu lagi,” kata Dovizioso yang muncul naib juara dunia di belakang Marquez pada musim 2017 dan 2018.

Dovizioso memenangi pusingan pembuka tirai di Qatar tetapi Marquez kemudian mendominasi saingan di Argentina, Sepanyol dan Perancis.

Marquez mendahului seteru utama dari Itali itu dengan kelebihan lapan mata ketika saingan masih berbaki 14 pusingan.

“Saya menggemari litar ini walaupun kami tidak sentiasa memperoleh keputusan yang baik di sini. Saya berharap cuaca baik di Mugello,” katanya.

Sementara itu rakan sepasukan Marquez, Jorge Lorenzo yang sudah menang enam kali di Mugello sejak 2011 termasuk tahun lalu bersama Ducati, mahu bangkit daripada permulaan hambar musim ini.

“Kami meraih keputusan yang baik di Le Mans,” kata Lorenzo yang menyaksikan penamat terbaiknya setakat ini adalah di kedudukan ke-11.

Sensasi tempatan, Valentino Rossi yang kini menghuni tangga keempat kategori MotoGP ketinggalan 23 mata di belakang Marquez, perlu meraih keputusan yang baik untuk terus bersaing.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 12:49pm
d