arena

Origi, Wanyama buat Kenya bangga

Oleh AFP

PENYERANG Liverpool, Divock Origi dan pemain Tottenham Hotspur, Victor Wanyama menjadi tajuk perbualan Kenya menjelang pertembungan final Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid, awal pagi Ahad ini.

Kenya, negara yang gilakan bolasepak dan mempunyai seramai 50 juta penduduk di Afrika Timur berharap dua pemain terbabit mampu menyerlah pada perlawanan itu ketika rakyat negara itu mengharapkan peranan mereka mampu menyumbang kepada perkembangan positif biarpun Origi adalah kelahiran Belgium.

Ketika ramai peminat Kenya sedang menantikan Piala Negara-Negara Afrika pada Jun depan, final UCL itu juga turut memberi pendapat berbeza pada padang latihan kelab Ligi Ndogo yang berpangkalan di Nairobi.

“Ini adalah kali pertama dua pemain dengan asal-usul dari Kenya akan mengambil bahagian pada final Liga Juara-Juara,” kata jurulatih remaja berusia 28 tahun, Kenneth Amolo.

“Wanyama dan Origi akan mewakili Kenya di peringkat dunia, ia hebat.”

Seorang lagi jurulatih remaja, Lawrence Omondi, memberitahu dia akan menyokong Spurs.

“Wanyama adalah kapten skuad kebangsaan kami dan dia salah seorang pemain terbaik kami, jadi kami perlu memberi sokongan kepadanya.”

“Kita perlu menyokong kapten negara kitakan?,” katanya sambil menegaskan Wanyama meraih kap antarabangsa pertama pada usia 15.

Wanyama adalah pemain tengah mantap dan pemain pertama Kenya menjaringkan gol dalam saingan kelab Eropah ketika beraksi bersama Celtic ketika menjaringkan gol sukar dilupakan menang ke atas Barcelona.

Origi pula memberi impak besar di Anfield, menjaringkan dua gol sensasi ketika Liverpool menyingkirkan Barcelona pada separuh akhir UCL musim ini.

Origi yang berhijrah dari kelab Perancis, Lille ke Liverpool pada 2014, bermain untuk Belgium dan dia juga mendapat sokongan padu dari Kenya kerana bapanya adalah bekas kapten bolasepak Kenya, Mike Okoth.

Bapanya popular kerana bertukar posisi daripada penjaga gol kepada penyerang.

“Dia dilahirkan dan dibesarkan di Belgium tetapi masih ada kaitan dengan Kenya,” kata Austin Oduor, pakcik kepada Origi dan bekas pemain antarabangsa Kenya.

“Dia kerap datang ke sini dan bertutur Swahili dengan baik,” katanya menambah bahasa itu dan Inggeris adalah bahasa utama Kenya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 6:52pm
d