arena

Chong Wei sukar ke Olimpik Tokyo

Oleh Saiful Affendy Sapran

HASRAT melihat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekaligus penampilan kelimanya di temasya sukan terbesar dunia itu kemungkinan besar tidak akan tercapai.

Ini kerana, masa semakin suntuk bagi bekas pemain ranking pertama dunia itu dalam usahanya untuk mengumpul mata kelayakan selepas masih tidak dapat beraksi di sebarang kejohanan sejak disahkan mengalami kanser hidung.

Lebih membimbangkan, perlindungan ranking yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepadanya - satu keistimewaan yang membolehkannya terus ke undian utama dalam kejohanan utama Jelajah Dunia BWF - akan tamat Ogos depan.

Situasi Chong Wei terus menimbulkan persoalan apabila sudah kira-kira sebulan dia tidak turun menjalani latihan sejak menemui doktor yang merawatnya di Taiwan.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui situasi itu sambil menegaskan biarlah Chong Wei diberi ruang seluas-luasnya ketika ini.

"Apa yang saya tahu ketika ini dia sedang berehat. Soal masa depannya, saya masih tidak tahu apakah perancangannya.

"Jika dia hendak terus bermain lagi, kami sentiasa mengalu-alukan. Apa saja keputusan yang akan dilakukannya nanti kami akan akur.

"Untuk sementara ini biarlah dia lupakan dulu (kempen kelayakan Olimpik)," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Ditanya adakah Chong Wei pernah menyatakan hasrat untuk bersara kepadanya, Misbun menafikannya.

"Setakat ini tak ada. Cuma dia beritahu nak berehat saja.

"Rehat sekejap dengan rehat 'selamanya' adalah dua perkara berbeza," katanya.

Chong Wei sudah melakukan empat penampilan di Sukan Olimpik sejak 2004 dengan pencapaian terbaiknya memenangi tiga perak pada edisi 2008, 2012 dan 2016.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 9:51pm
d