arena

Farizal didenda dan digantung

Oleh Syazwan Msar

PENJAGA gol kontroversi Selangor, Mohd Farizal Harun dikenakan hukuman penggantungan lima perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan tindakan menumbuk muka pemain lawan.

Mohd Farizal turut didenda RM5,000 dan dikehendaki menjelaskan dalam tempoh 14 hari atau berdepan hukuman lebih berat.

Pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, mencetuskan kontroversi berikutan menumbuk pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh selain turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Red Giants sejurus tewas 0-1 kepada Terengganu FC di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) pula didenda RM25,000 berikutan tindakan penyokong yang didapati membakar mercun sebelum dan semasa perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Pahang pada 14 Mei lalu.

“Pemain import Terengganu, Igor Zongic pula digantung tiga perlawanan dan denda RM5,000 kerana menyerang dan memukul dibahagian belakang badan pemain lawan ketika PKNP menentang Terengganu pada 4 Mei lalu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

“Pemain PKNS Muhammad Syafiq Sabaruddin digantung tiga perlawanan dan didenda RM1,000 kerana menyiku pemain pasukan lawan ketika perlawanan Melaka menentang PKNS pada 28 April lalu,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, seorang pegawai pasukan Sarawak Hamzah Ibrahim digantung enam bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bolasepak dan didenda RM10,000 kerana melakukan ugutan.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 10:27pm
d