arena

SIC,TWMR anjur MSBK

Oleh BERNAMA

SIRKIT Antarabangsa Sepang (SIC) mengadakan usahasama dengan promoter Two Wheels Motor Racing (TWMR) untuk menganjurkan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2019 bermula Jun hingga November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, kerjasama penganjuran MSBK adalah untuk tempoh lima tahun, bermula dengan empat pusingan di Litar Antarabangsa Sepang, tahun ini.

“Kerjasama ini akan memajukan status MSBK sebagai salah satu perlumbaan utama dalam negara. Kami berharap dengan kepakaran TWMR, kejuaraan ini menjadi lebih baik dan berdaya saing, bukan sahaja untuk penonton di Malaysia, malah diiktiraf terbaik di rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pusingan pertama akan berlangsung dari 14 hingga 16 Jun dengan turut dianjurkan perlumbaan Piala Bakat Asia (ATC) Idemitsu sebagai perlumbaan sokongan.

Pusingan kedua akan diadakan dari 26 hingga 28 Julai, diikuti 20 hingga 22 September yang turut dianjurkan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sebagai perlumbaan sokongan manakala pusingan terakhir akan berlangsung dari 8-10 November ini.

TWMR adalah sebuah badan yang mempunyai pengalaman dalam menganjurkan siri perlumbaan motosikal terutama siri Cub Prix Malaysia dan ARRC FIM.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 11:58pm
d