arena

UEFA kekang tiket palsu

Oleh Reuters

UEFA memberi amaran kepada penyokong supaya tidak membeli tiket daripada pihak ketiga ketika sejumlah besar tiket palsu dijual menjelang final Liga Juara-Juara antara Tottenham dan Liverpool.

Badan induk bola sepak Eropah itu menyatakan beberapa penahanan sudah dilakukan bagi menangani keadaan itu dan sudah memulakan prosiding undang-undang terhadap penjual yang tidak mendapat kebenaran.

“UEFA mengingatkan tiada tiket bagi penyokong individu diedarkan menerusi agensi atau broker dan menggalakkan peminat supaya tidak terpedaya dengan penjual tidak sah yang mahu menjual dengan harga tinggi sekalipun tidak mempunyai tiket yang mereka dakwa miliki untuk dijual,” menurutnya dalam satu kenyataan.

UEFA menegaskan pemilik tiket palsu tidak akan dibenarkan memasuki stadium selepas akhbar The Times melaporkan ratusan peminat yang membeli tiket daripada laman web jualan semula mendapati tiket mereka bagi aksi final di Madrid itu tidak wujud.

“Penjualan tiket kepada orang awam dilakukan secara eksklusif oleh UEFA dan kerana itu, sebarang tiket yang ditawarkan untuk dijual oleh pihak ketiga (termasuk media sosial, laman jual beli dan platform jualan tiket kedua) yang diiklankan melanggar terma dan syarat tiket,” kata UEFA.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 12:37pm
d