arena

Federer, Nadal mara pusingan keempat

Oleh AFP

ROGER Federer muncul pemain lelaki paling tua layak ke pusingan keempat Terbuka Perancis dalam tempoh 47 tahun dengan memenangi rekod perlawanan Grand Slam ke-400, manakala Rafael Nadal menang dalam empat set.

Federer yang berusia 37 tahun, beraksi di Roland Garros buat kali pertama sejak 2015, menundukkan pemain ranking ke-63 dari Norway, Casper Ruud 6-3, 6-1, 7-6 (10/8) di Gelanggang Suzanne Lenglen.

Ia kali ke-14 pemenang 20 gelaran Grand Slam itu layak beraksi pada minggu kedua di Paris dan dia akan berdepan pemain nombor 68 dunia dari Argentina, Leonardo Mayer bagi memburu tiket suku akhir.

“Agak sukar untuk mencari kelemahan permainannya, jadi saya lega, saya akan mandi selepas ini dan ia pasti hebat,” kata juara 2009 itu.

Federer muncul pemain lelaki tertua menempah tempat ke pusingan 16 terakhir sejak Nicola Pietrangeli, juara dua kali pada usia 38 tahun pada 1972.

Juara bertahan Nadal mengelak kesilapan dalam usaha meneruskan bidaannya bagi rekod kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-12 dengan kemenangan empat set ke atas David Goffin, genap 10 tahun sejak penyingkiran mengejutnya di tangan Robin Soderling pada 2009.

Pemenang 17 gelaran Grand Slam itu bangkit selepas set ketiga yang cemerlang daripada pilihan ke-27 dari Belgium, Goffin sebelum menang 6-1, 6-3, 4-6, 6-3 skali gus mencatat rekod menang-kalah 89-2 pada kejohanan itu.

Nadal mengekalkan rekodnya tidak pernah tewas pada minggu pertama di Paris sekalipun dia menarik diri kerana kecederaan sebelum pusingan ketiga pada 2016.

Dia akan menentang pemain Argentina, Juan Ignacio Londero pada pusingan keempat.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 1:07pm
d