arena

Hakimi sambut Aidilfitri di China

Oleh Aida Adilah Mat

JAGUH lompat kijang negara, Hakimi Ismail buat sekian kalinya terpaksa mengorbankan hari raya Aidilfitri demi mengejar impiannya untuk mencipta nama di persada antarabangsa.

Tahun ini dan buat kali ketiga berturut-turut Hakimi sekali lagi terpaksa beraya diperantauan dalam usahanya melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia di Doha September ini selain dalam persiapan mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina.

Hakimi bersama jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei akan berlepas ke China, esok ini untuk menyertai Grand Prix Asia.

Bagi anak muda kelahiran Taiping itu untuk berjaya perlukan pengorbanan kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.

Mengakui sedikit sedih terpaksa meninggalkan anak dan isteri di tanah air namun bagi Hakimi apa yang dilakukannya hari ini adalah demi masa depan agar apabila bersara dari arena olahraga kelak dia tidak akan berasa menyesal atau kecewa kerana sudah memberi sepenuhnya dalam sukan ini.

"Sedih itu memang sedih tapi nak buat macam mana apabila kejohanan besar itu dilangsungkan pada hari raya.

"Saya tetap akan cuba untuk memberi yang terbaik dan akan berusaha untuk layak ke Kejohanan Dunia biarpun ia tampak sukar namun bukan satu yang mustahil," katanya yang kali pertama beraya di Kazakhstan pada 2017, Perancis pada 2018 dan kali ini di China.

Meletakkan sasaran untuk melakukan lompatan 16.50 meter, Hakimi berkata dia akan cuba menggunakan teknik baru di China nanti selepas berada di bawah bimbingan jurulatih Ahmad Firdaus Salim selama enam bulan.

"Sekarang ini saya cuba teknik baru untuk lihat kesannya sama ada ia menjadi atau tidak.

"Memang sebelum ini ada masalah sedikit dengan teknik lompatan apabila tidak konsisten namun kali ini saya harap teknik baru ini akan beri impak positif," katanya yang perlu melakukan lompatan 16.95m untuk layak ke Kejohanan Dunia.

Mengulas mengenai sesi latihan di bulan Ramadan, Hakimi berkata, dia akan memulakan sesi latihan setiap hari pada jam 10 malam dan tamat sekitar jam 12 malam.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 1:50pm
d