arena

Van Dijk sanjung sumbangan Klopp

Oleh AFP

PEMAIN terbaik final Liga Juara-Juara, Virgil van Dijk memuji sumbangan pengendali dari Jerman, Juergen Klopp yang banyak membantu peningkatan Liverpool hingga akhirnya bergelar juara Eropah.

“Beliau seorang pengurus yang fantastik, begitu juga sebagai seorang manusia biasa,” kata pertahanan tengah dari Belanda itu.

“Satu keseronokan bekerja dengannya, tapi juga dengan semua staf kejurulatihan, semua yang bekerja di Melwood (pusat latihan).

“Ia satu tempat yang menakjubkan dan saya amat bangga dan gembira beliau mahukan saya bermain dengan kelab yang menarik ini.”

Van Dijk tidak mempunyai masa untuk berehat ketika dia menuju ke Portugal bagi aksi Liga Negara Eropah dengan Belanda berdepan England pada separuh akhir awl pagi Jumaat ini.

Namun sebelum itu dia akan kembali ke Merseyside untuk meraikan kejayaan mereka merangkul Piala Eropah kali keenam selepas menewakan Tottenham Hotspur 2-0 di Madrid menerusi penalti Mohamed Salah dan gol Divock Origi awal pagi tadi.

“Ia pasti dua malam yang meletihkan, tapi saya tidak kisah, saya hanya akan berseronok,” katanya.

Selepas dinobat Pemain Terbaik PFA dan Pemain Terbaik Liga Perdana, Van Dijk kini berpeluang untuk muncul pertahanan pertama memenangi anugerah Ballon d'Or sejak Fabio Cannavaro pada 2006.

Namun dia perlu mengatasi cabaran bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 10:02am
d