arena

Griezmann menyerlah buat Perancis

Oleh AFP

ANTOINE Griezmann menyumbat satu gol ketika Perancis menang mudah 2-0 ke atas Bolivia pada aksi persahabatan di Nantes awal pagi tadi, sebelum juara dunia itu meneruskan kempen kelayakan Euro 2020.

Thomas Lemar meletakkan Perancis di depan selepas lima minit dan Griezmann, yang mengumumkan dia meninggalkan Atletico Madrid selepas lima musim bulan lalu, meledak gol kedua sebelum rehat.

Griezmann melonjak ke tangga kelapan dalam senarai penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman dengan gol ke-29 ketika dia mengatasi catatan pemenang Piala Dunia 1998, Youri Djorkaeff.

Dia kini hanya satu gol ketinggalan di belakang Just Fontaine dan Jean-Pierre Papin, serta dua gol di belakang catatan Zinedine Zidane.

Namun Perancis cemas sedikit apabila mereka kehilangan khidmat penyerang sensasi Kylian Mbappe kerana kecederaan buku lali ketika rehat.

Anak buah Didier Deschamps kembali ke aksi kompetitif pada 8 Jun ini apabila berdepan Turki dalam Kumpulan H. Kedua-dua negara meraih enam mata daripada dua perlawanan.

“Kami perlu memanaskan badan sedikit. Ia pasti sukar di Turki, kami perlu bersedia sebaik mungkin,” kata Griezmann.

“Saya mungkin tidak berada pada prestasi terbaik. Perlawanan ini bagus buat saya, untuk beraksi beberapa minit dan berada dalam keadaan baik bagi pertemuan Sabtu ini.”

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 7:57am
d