arena

Kebolehan Hendo kini diperakui

Oleh Reuters

KEJAYAAN Liverpool merangkul trofi Piala Eropah kali keenam, yang diraikan di jalan raya Merseyside awal pagi tadi, adalah kemenangan skuad multinasional, dibentuk dengan kebijaksanaan pengurus dari Jerman, Juergen Klopp.

Namun ketika kemenangan diraih selepas aksi hambar, 2-0 ke atas Tottenham Hotspur awal pagi semalam, kapten kelab Inggeris itu, Jordan Henderson yang tidak begitu dipandang kebolehannya sebelum ini berjaya menonjolkan diri.

Gambar Henderson memeluk erat bapanya selepas wisel penamat di Madrid dan kemudian duduk bersama trofi dalam penerbangan pulang ke Liverpool, mencetus tumpuan terhadap pemain tengah berusia 28 tahun itu, yang diikat dari Sunderland lapan tahun lalu.

Kualiti ketara dimiliki Henderson adalah kerja keras dan keupayaannya mengekang gerakan lawan, namun ia tidak selalu dihargai peminat Anfield.

“Saya mengalami beberapa saat sukar tapi saya tetap teruskan juga. Ia saat terindah dalam kehidupan saya, inilah yang saya impikan sejak kecil lagi,” kata Henderson.

“Ia bukannya mengenai saya, bukannya kerana saya menjadi kapten atau menjulang trofi, ia mengenai kelab ini, pemain dan pengurus. Kini kami perlu teruskan memberi cabaran dalam apa juga pertandingan selepas ini,” katanya.

Namun sebahagian daripada kejayaan di Madrid membabitkan Henderson.

“Wira yang tidak didendang buat saya malam ini adalah Jordan Henderson - dia melakukan semua kerja kotor, semua yang sukar. Dia tahu dia mempunyai pemain berkualiti di sekelilingnya jadi dia hanya perlu menyatukan mereka,” kata Sean Dyche, pengurus Burnley yang menonton perlawanan di Madrid sebagai pengulas.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 1:23pm
d