arena

Tunggakan gaji pemain Melaka selesai

Oleh Nazri Abu Bakar

ISU tunggakan gaji yang membelenggu skuad Melaka sudah diselesaikan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menjelang sambutan Aidilfitri sekali gus menceriakan barisan pemain skuad berkenaan.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, pembayaran tunggakan dua bulan gaji pada Mac dan April itu membolehkan pemain menyambut perayaan dengan gembira sebelum turun semula menjalani latihan selepas Aidilfitri.

Menurutnya, isu gaji dan kebajikan sememangnya amat dititikberatkan oleh Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari serta kepemimpinan persatuan.

“MUSA sentiasa bekerja keras dalam usaha mendapatkan tajaan dari syarikat korporat. Apa yang memberangsangkan usaha yang dilakukan menampakkan hasil dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Semua sedia maklum bahawa untuk mendapatkan tajaan bagi sukan bola sepak bukan sesuatu yang mudah terutama jika tidak diurus dengan berkesan.

Malah ia mengambil proses yang agak panjang memandangkan berlakunya perubahan tampuk kepimpinan dan penaja perlu mendapat keyakinan untuk melabur dalam pasukan,” katanya.

Menurutnya, setakat hari ini MUSA sudah menyelesaikan tunggakan gaji secara berperingkat bukan hanya untuk pemain Liga Super malah pemain pasukan Piala Presiden.

Sebelum ini dikhabarkan MUSA menghadapi krisis kewangan sehingga menyebabkan berlaku tunggakan, namun langkah penyelesaian berkenaan menamatkan isu terbabit.

Beliau berkata, sokongan semua pihak terhadap penyelesaian berkenaan amat dihargai dan yakin prestasi pasukan akan terus melonjak dengan kesungguhan pemain akan terus dipertingkat selepas ini.

Farhan berkata, ketika ini MU menduduki tangga keempat liga selepas 15 perlawanan dengan aksi berikutnya berdepan Terengganu pada 15 Jun depan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Sehubungan itu, dia yakin pasukan Hang Tuah mampu memperbaiki kedudukan menerusi komitmen tinggi barisan pemain, barisan kejurulatihan dan sokongan peminat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi juga meluahkan setinggi terima kasih terhadap Adly bagi menceriakan pemain menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, penyelesaian itu menepis tanggapan umum MUSA menghadapi krisis kewangan yang serius.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 4:11pm
d