arena

Thiem bengang 'dihalau' Serena

Oleh AFP

DOMINIC Thien menuduh Serena Williams mempunyai ‘personaliti teruk’ tatkala perselisihan timbul apabila dia dihalau daripada sidang medianya sendiri bagi membolehkan penganjur Roland Garros memberi ruang kepada bintang handalan Amerika Syarikat itu mengadakan sidang medianya.

Pemain Austria Thiem, pilihan keempat dalam acara lelaki dan naib juara 2018, sedang mengadakan sidang media selepas perlawanan sejurus mara ke kelompok 16 terakhir Sabtu lalu.

Bagaimanapun dia kemudiannya diberitahu bahawa bilik wawancara utama itu diperlukan Serena yang baru saja tewas kepada Sofia Kenin pada pusingan ketiga.

Ia kali pertama juara Grand Slam 23 kali itu tersingkir awal dalam kejohanan Slam dalam tempoh lima tahun dan dia mahu segera pergi daripada venue kejohanan itu.

“Ia adalah prinsip,” kata Thiem kepada Eurosport Jerman.

“Biarpun ada pemain muda di dalam, setiap pemain perlu menunggu.”

Tambahnya: “Pada pandangan saya ia juga menunjukkan personaliti yang teruk. Saya 100 peratus pasti (Roger) Federer atau (Rafael) Nadal tidak akan melakukan sesuatu seperti itu.

Tiada petunjuk siapa yang memutuskan untuk mengubah sesi wawancara Thiem selepas separuh jalan.

“Ia memang lawak,” kata Thiem, 25, kepada pegawai media apabila diberitahu dia sepatutnya menghabiskan wawancara di bilik yang lebih kecil.

“Saya perlu tinggalkan bilik kerana dia datang. Apa masalahnya, saya tidak peduli. Saya juga boleh buat apa yang saya mahu.”

Federer sementara itu mempertahankan Thiem, menyifatkannya sebagai ‘bintang lelaki handalan’.

“Saya fikir mereka yang masih dalam kejohanan perlu diberi keutamaan, itu yang saya lihat,” kata Federer selepas menewaskan Leonardo Mayer pada Ahad untuk mara ke aksi suku akhir kejohanan utama ke-54.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 6:31pm
d