arena

Kehilangan besar MTBC

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

DUNIA tenpin boling negara kehilangan tokoh yang pernah menggerakkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) apabila bekas setiausaha agungnya Sidney Tung menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Sidney, 74, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat jangkitan perut dan paru-paru pada jam 1 tengahari tadi.

Antara tugas yang pernah digalasnya adalah Setiausaha Agung Kongres itu dari 1980 hingga 2013, selain Naib Presiden Persekutuan Boling Asia dari 1991 hingga 2007.

Beliau juga pernah menggalas tugas sebagai Naib Presiden (Zon Asia) Persekutuan Tenpin Boling Komanwel dari 2001 hingga 2013.

“Sumbangan Sidney terhadap sukan tenpin boling sungguh luar biasa, seperti yang anda lihat, kerja keras yang dilakukannya bersama Datuk PS Nathan (Presiden MTBC) adalah asas kepada kejayaan MTBC selama ini,” kata Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok ketika dihubungi.

“Beliau sentiasa berjuang untuk atlet dan menjaga kebajikan atlet sentiasa menjadi keutamaannya.

“Sukar untuk meringkaskannya kerana banyak yang beliau sumbangkan untuk boling.”

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 11:08pm
d