arena

Dhabitah sambung beraya di 'kampung kedua'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri bakal pulang beraya di kampung 'keduanya' di China selama sebulan untuk melakukan persiapan fasa akhir ke Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan bulan depan.

Menurutnya, 'beraya' di Wuhan China memang sangat penting kerana ia bakal menjadi penentu kepada aksi cemerlang di Kejohanan Dunia yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Raya keempat saya akan pulang ke 'kampung' kedua di Wuhan, China bersama penerjun negara yang lain. Jadi saya masih berpeluang menyambut hari raya pertama di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Program Rakaman Raya Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun, Dhabitah tidak berpeluang menyambut hari raya dengan kedua-dua ibu bapanya buat kali kedua berturut-turut dan menumpang kasih kepada abang dan kakak iparnya bagi sambutan kali ini.

“Ayah dan ibu pergi bercuti di New Zealand, jadi saya akan beraya bersama abang dan kakak ipar di Melaka. Tahun lalu pun sama seperti ini kerana kedua-dua mereka mengerjakan ibadah umrah.

“Apa pun fokus saya sekarang ini ialah di kampung kedua di China untuk persiapan ke Kejohanan Dunia Gwangju kerana ia adalah tiket ke Olimpik tahun depan,” kata Dhabitah.

Penerjun berusia 20 tahun ini juga berada pada prestasi terbaik selepas meraih gangsa dalam acara tiga meter papan anjal wanita di Siri Terjun Dunia di London bulan lalu. Jika berjaya memberikan persembahan terbaik di Gwangju, Dhabitah bakal melayakkan diri ke Olimpik buat kali kedua berturut-turut.

Empat tahun lalu di Olimpik Rio, Dhabitah berjaya mara ke saingan akhir acara tiga meter papan anjal seirama wanita dan 10m platform individu wanita.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang menyambutnya. Kalau main mercun berhati-hati takut ada yang beraya di hospital nanti,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 1:59pm
d