arena

Nidzam optimis kemampuan Melaka United

Oleh Nazri Abu Bakar

PEMBANTU jurulatih Melaka United (MU), Nidzam Adha Yusoff yakin skuadnya mampu mengekalkan kedudukan empat teratas carta Liga Super sehingga penghujung saingan musim ini.

Bekas pengendali Kedah yang juga bekas penyerang kebangsaan, Perak dan skuad Helang Merah itu melihat peningkatan agresif pasukan pada awal pusingan kedua mampu menjadi kayu ukur kepada pencapaian sebenar skuad itu untuk mempertahankan kedudukan tangga keempat yang kini dihuni MU.

Baginya, skuad itu hanya perlu konsisten dalam menterjemah prestasi bagi mengelak dipintas mana-mana lawan yang mahu merampas tempat berkenaan.

Menurutnya, walaupun belum selamat di kedudukan terbabit, namun persefahaman yang kian memberangsangkan tambahan skuad terbabit kini memiliki lima import lengkap berbanding sebelumnya dilihat landasan terbaik menampilkan persembahan lebih meyakinkan.

“Cuma saya harap pemain tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh membawa padah. Apa yang pasti mereka amat berdisplin untuk merencana strategi ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

“Saya sebagai pembantu jurulatih bersama Asri Ninggal dan jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid sentiasa berusaha menyumbang keperluan kepada Zainal dan pemain dalam memastikan pasukan terus cemerlang,” katanya.

Malah, dia juga gembira dengan penyertaan dua import baharu, Davy Claude Angan dari Ivory Coast dan Dominic Balic (Croatia) sekali gus membentuk sentuhan lebih bertenaga buat skuad berkenaan.

Baginya, kehadiran penyokong setia yang tidak lelah memberi semangat kepada pemain terutama di gelanggang sendiri dan lawan menyuntik tonik berharga buat pemain untuk memastikan MU terus mendaki carta liga.

Nidzam berkata, malah tidak mustahil peningkatan persembahan pasukan mampu untuk terus melonjak di tangga ketiga atau lebih baik dari itu sehingga penghujung saingan.

Namun fokus buat masa ini amat penting untuk meraih sebanyak mungkin kemenangan bermula berdepan Terengganu FC (TFC) pada 15 Jun ini di Stadium Hang Jebat, dalam masa sama mengelak sebarang kekalahan pada baki saingan liga.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 3:20pm
d