arena

Harimau Malaya belasah Timor Leste

Oleh Syazwan Msar

MUNGKIN geram tidak mendapat cuti raya Aidilfitri menyebabkan pasukan Timor Leste menjadi mangsa amukan skuad Harimau Malaya apabila dibelasah 7-1 pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Empat gol pada babak pertama menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe harus diberi pujian kerana mempamerkan aksi mantap walaupun menghadapi cabaran cuaca dan waktu latihan terhad sebelum ini.

Lavere Corbin Ong menanduk masuk gol pertama seawal minit 12 hasil hantaran Safawi Rasid. Malaysia sepatutnya mampu mencipta gol kedua selang empat minit kemudian apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Safawi gagal manfaatkan peluang terbabit sekali gus memberi kelegaan kepada skuad kendalian Norio Tsukitate.

Kehadiran penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri memberi impak positif apabila pemain itu menyumbat gol kedua pada minit 23.

Timor Leste seolah hilang arah apabila terus gagal menyekat kemaraan skuad Harimau Malaya sekali gus memberi peluang kepada Norshahrul Idlan Talaha menyumbat gol ketiga sebelum Safawi menjadikan kedudukan 4-0 untuk Malaysia pada minit terakhir babak pertama perlawanan.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad Harimau Malaya terus melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan walaupun berada di kedudukan selesa.

Namun, kesilapan pertahanan Harimau Malaya memberi peluang kepada Timor Leste menyumbat gol pertama menerusi Joao Da Silva untuk kedudukan 1-4.

Safawi terus membuktikan skuad Harimau Malaya sukar digugat apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi gol kelima minit 58.

Mohd Faiz Nasir yang baharu sahaja beberapa minit dimasukkan mengganti Norshahrul Idlan Talaha menambah derita Timor Leste apabila menyumbat gol keenam hasil hantaran Safawi pada minit 77.

Benteng Timor Leste ternyata longlai apabila Muhammad Akhyar Rashid mencetak nama sebagai penjaring gol buat menewaskan penjaga gol, Fernandes Aderito Raul buat kali ketujuh. Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan sekali gus memberi bekalan selesa bagi mengharungi perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di gelanggang sama, Selasa ini.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 10:50pm
d