arena

Hazard milik 'Galactico'

Oleh Reuters

REAL Madrid menamatkan pemburuan dan spekulasi mendapatkan khidmat bintang Chelsea Eden Hazard hari ini selepas bersetuju menandatangani pemain sayap Belgium untuk tempoh lima tahun.

Laporan menyatakan pemain itu diikat kelab gergasi Sepanyol itu dengan penjanjian menyamai harga yang dibayar Madrid untuk Gareth Bale ketika dibeli dari Tottenham Hotspur pada 2013 dengan harga 100 juta euro (RM470.5 juta).

“Real Madrid dan Chelsea bersetuju dengan perpindahan Eden Hazard,” kata Real dalam satu kenyataan.

“Pemain itu akan diikat dengan kelab selama lima musim iaitu sehingga 30 Jun 2024.”

Dia dijangka diperkenalkan Galactico secara rasmi di Stadium Santiago Bernabeu, Khamis ini, bergantung kepada pemeriksaan kesihatan.

Hazard menjadi pemain paling mahal pernah dijual Chelsea, berterima kasih kepada kelab yang diwakilinya sejak tujuh tahun lalu.

“Kepada rakan dan keluarga Chelsea saya. Sekarang anda sudah mengetahui saya akan menyertai Real Madrid. Ia bukan rahsia lagi yang ia adalah impian saya bermain untuk mereka sejak kecil lagi,” kata Hazard menerusi facebooknya.

“Saya cuba untuk tidak mengganggu fokus saya atau pasukan sepanjang tempoh sukar ini yang diselubungi spekulasi serta tumpuan media, terutama sepanjang enam bulan lalu.”

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 12:07pm
d