arena

Kualiti padang Bukit Jalil 'dipersoalkan'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KEMENANGAN bergaya Harimau Malaya ke atas Timor Leste pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam, nyata tidak dapat memadam isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang 'hangat' diperdebat di media sosial.

Menerusi Facebook dan Twitter rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mendapati selain pujian, ramai netizen mempersoalkan kualiti permukaan padang SNBJ dan mahu ia dibaiki segera.

Kata mereka, kerosakan padang yang berlarutan sejak sekian lama bukan saja menjejaskan imej negara, malah mutu permainan skuad kebangsaan.

Mohd Azamm, misalnya berharap isu padang itu dipandang serius oleh pihak FAM dan dibawa untuk tindakan berwajib termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Orang dok fikir pasal kualiti padang... boleh nak happy2 ya FAM. (orang fikir pasal kualiti padang. FAM boleh bersuka ria) Tahniah FAM," katanya.

Kenyataannya disokong Anthony Auckrive Aiven Eli yang menulis 'Bola banyak melantun. Tolong perbaiki lagi kualiti padang. Tahniah HM (Harimau Malaya). Kekalkan prestasi 'game' kedua nanti'.

Bagi Lay@azlan_izz, KBS perlu bertindak segera memulihkan keadaan padang SNBJ kerana stadium boleh memuatkan kapasiti lebih 85,000 orang dan terbesar di Malaysia dan ASEAN itu adalah venue sukan utama negara.

"Tolong 'repair' padang, teruk sangat nengoknya (nampaknya). Stadium negara kut. Dari dulu sama je. Tak kesian Pemain? Tolong repair. Terima kasih," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud ketika dihubungi menegaskan pihak tidak menerima sebarang aduan daripada FAM mengenai keadaan padang pada perlawanan semalam.

Katanya, wakil Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut memeriksa padang pada Khamis dan dapati ia boleh digunakan.

"Mereka nasihat supaya tiada latihan di padang bagi elak ia rosak. Jadi kedua-dua pasukan berlatih di luar, tapi dibenar untuk tinjau keadaan padang.

"Biasanya untuk bola sepak ketinggian rumput 25 milimeter. Tapi untuk perlawanan semalam kita potong sehingga 22 milimeter ikut permintaan FAM supaya pergerakan bola lancar dalam keadaan padang basah dan lembap.

"Saya lihat semalam keadaan padang sesuai dimainkan. Walau bukan 100 peratus, Alhamdulillah perlawanan lancar, tiada aduan FAM dan kita menang 7-1," katanya.

Beliau berkata, PSM semestinya mahu keadaan padang SNBJ sempurna untuk perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan, tapi faktor cuaca tidak menentu kebelakangan ini adalah di luar kawalan.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 8:48pm
d