arena

FAM sedia bantu

Oleh Syazwan Msar

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedia membantu memberikan khidmat nasihat kepada ahli gabungan yang menghadapi masalah berkaitan pengurus dan kewangan seperti yang melanda beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak itu tidak mengambil sikap lepas tangan atau hanya menjadi pemerhati kepada masalah yang melanda persatuan bolasepak negeri.

Beliau berkata, FAM sedia maklum tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran dan pengurusan persatuan namun jika bantuan membabitkan nasihat dan pandangan berkaitan undang-undang, badan induk terbabit tiada masalah berbuat demikian.

“Saya sedia maklum ada beberapa pasukan ketika ini menghadapi masalah antaranya adalah Kelantan dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan ada juga menghubungi kami meminta pandangan.

“Jika berkaitan nasihat atau pandangan tiada masalah untuk kami bantu namun jika meminta bantuan untuk mencampuri urusan pentadbiran atau beberapa perkara sensitif, ia di luar kawalan kami,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan beberapa pasukan antaranya Kelantan dan Kuala Lumpur menghadapi masalah berkaitan pentadbiran dan pengurusan. Walaupun ada beberapa pihak yang meminta FAM campur tangan namun perkara terbabit sebenarnya di luar bidang badan induk terbabit.

Sementara itu, pemberian wang kepada KAFA sebelum ini adalah membabitkan beberapa bayaran perlu dilangsaikan FAM sebelum ini dan ia bukannya hutang atau tunggakan pembayaran.

“Kami sudah menyerahkan wang terbabit kepada KAFA namun jumlahnya tidak boleh dinyatakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 6:00am
d