arena

McIlroy hampiri Terbuka Kanada

Oleh Reuters

RORY McIlroy mencatat enam birdie dengan 64 pukulan dalam aksi pusingan ketiga tanpa bogey untuk saingan tiga penjuru merebut kejuaraan Terbuka Kanada awal pagi tadi.

McIlroy berkongsi kedudukan pendahulu dengan 13 di bawah par dengan dua pemain Amerika Syarikat Matt Kuchar (69) dan Webb Simpson (67) dalam cuaca panas dan berangin di Hamilton Golf & Country Club.

McIlroy, yang membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan di Ontario, cuba bangkit selepas tersingkir daripada kejohanan Memorial di Ohio minggu lalu, kali pertama dia tersingkir musim ini.

Pemain Ireland berusia 30 tahun itu memanfaatkan hujung minggu untuk memperbaiki permainannya dan berkata latihan tambahan itu membawa hasil.

“Saya fikir saya berjaya memanfaatkan penyingkiran itu untuk sesuatu yang positif,” katanya.

“Ada beberapa perkara dalam permainan saya yang diberi perhatian dan saya berpeluang memperbaikinya, itulah sebabnya saya mendahului saingan.”

McIlroy melakukan pukulan terbaik hari itu di lubang ke-15 apabila pukulannya sejauh 130 ela nyaris memasuki lubang, membuatkannya terpaksa membuat pukulan putt dari jarak 10 inci untuk birdie.

Pemain veteran Kuchar, yang juga pendahulu bersama selepas pusingan kedua berkata dia perlu memperbaiki permainannya jika mahu menjulang trofi Terbuka Kanada buat kali pertama.

“Matlamatnya adalah untuk terus melakukan penambah baikan,” kata Kuchar yang mencatat tiga birdie dan dua bogey awal pagi tadi.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 3:45pm
d