arena

'Usah harap Kaimbi saja'

Oleh Asrol Awang

BIARPUN skuad Pahang sudah boleh menyenaraikan Lazarus Kaimbi pada aksi selepas ini, Dollah Salleh tidak mahu pasukan kendaliannya terlalu bergantung harap kepada penyerang import dari Namibia itu.

Pengendali Tok Gajah itu mengharapkan persefahaman dan komitmen dipamerkan semua pemain untuk skuad itu kembali menemui rentak.

“Memang kehadiran Kaimbi penting untuk memperkuatkan jentera serangan, tetapi permainan bola sepak adalah berpasukan dan bukan bersifat individu.

“Saya harap sebaik liga bersambung, semua pemain dapat kembali kepada prestasi terbaik mereka dan ini sangat penting kerana kita akan berdepan cabaran pada saingan separuh akhir Piala FA,” katanya.

Sebelum ini, Pahang sering menghadapi masalah ketumpulan di bahagian serangan apabila pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan.

Biarpun sebelum ini skuad Tok Gajah memiliki Jose Eduardo atau Ze Love, namun pemain import dari Brazil itu gagal tampil dengan aksi diharapkan.

Pahang mengambil keputusan untuk mengikat Kaimbi yang juga bekas pemain Kelantan musim lalu untuk memulih reputasi sebagai antara pasukan disegani dalam kancah saingan Liga Malaysia.

Fokus utama skuad Tok Gajah kini adalah aksi separuh akhir Piala FA apabila berdepan Perak pada 22 dan 29 Jun ini, memandangkan Pahang adalah penyandang piala itu musim lalu.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 5:50pm
d