arena

Sasar RM5 juta, dapat RM8 ribu

Oleh Aida Adilah Mat

KEKURANGAN dana akan menyebabkan segala program membabitkan atlet para negara terjejas biarpun Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan dana bagi menampung segala perbelanjaan atlet di bawah naungan mereka.

Usaha MPM untuk menambah dana apabila melancarkan program Tambah Emas bagaimanapun tidak mendapat sambutan.

Lebih menyedihkan program yang dilancarkan Januari lalu itu hingga kini mengutip RM8,000 jauh daripada sasaran iaitu RM5 juta hingga tahun 2020.

Justeru MPM yang kini di bawah naungan SM Nasarudin SM Nasimuddin mahu menggerakkan atlet mereka yang kini dalam usaha untuk melayakkan diri ke temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Dengan bajet yang agak terhad dan tidak hanya mahu bersandarkan kepada bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), MPM mengharapkan lebih banyak lagi golongan korporat membantu usaha MPM dalam menjana sukan untuk atlet kurang upaya (OKU) di negara ini menerusi program Tambah Emas ini.

Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid pihaknya tidak pernah berhenti berusaha mengumpul dana bagi membolehkan lebih ramai atlet OKU menyertai pertandingan sekali gus melayakkan mereka beraksi di Tokyo nanti.

“Sistem kutipan mata untuk layak ke Paralimpik Tokyo berlainan kali ini yang mana atlet perlu menyertai kejohanan yang menawarkan mata.

“Bagaimanapun kerana kurang dana, kebanyakan daripada atlet kita terpaksa melupakan hasrat itu biarpun ada di kalangan mereka seperti atlet badminton berada di ranking nombor satu dunia dan peluang untuk layak ke Tokyo adalah cerah,” katanya.

Kata Siti, pecahan bajet yang agak terhad serta struktur membabitkan persatuan OKU memerlukan modal yang besar.

“Hakikat sebenar adalah sukar untuk atlet OKU menyertai persatuan atlet normal kerana standardnya berbeza. Kami di MPM terpaksa akur diskriminasi antara atlet biasa dan atlet kelainan upaya ini selain peruntukan yang diterima juga tidak sama,” katanya.

Untuk rekod Tambah Emas dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut menyeru sektor korporat, swasta dan orang ramai menyokong usaha murni MPM.

Program Tambah Emas menyasarkan kutipan wang tunai dan orang ramai boleh menyumbang menerusi platform e-dompet di aplikasi Boost atau dalam laman web MPM.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 7:14pm
d