arena

Sedia tahan bahang Hong Kong

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MENGAMBIL iktibar terpaksa bermain dalam cuaca panas di Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Bola sepak Hong Kong tahun lalu, skuad negara kini mengadakan latihan intensif pada sebelah petang bagi membolehkan pemain negara menyesuaikan diri di tempat lawan, kelak.

Penolong pengurus pasukan ragbi negara, Tengku Mohd Fariz Tengku Roslan berkata, selain faktor kualiti padang, cuaca panas di Hong Kong boleh mempengaruhi aksi anak buahnya.

“Saya berharap pemain dapat sesuaikan diri dengan cuaca di Hong Kong yang mana kita tahu cuaca jam 4 petang di sana memang betul-betul panas.

“Jadi kita juga berlatih jam 4 petang dan pemain dapat rasa bahangnya main di sana selain keadaan padang sintetik di sana lebih nipis berbanding di Majlis Sukan Negara,” katanya dihubungi hari ini.

Skuad negara yang dikenali skuad Bunga Raya akan membuat dua perhitungan dengan Hong Kong iaitu pada 15 Jun ini, jam 4 petang di tempat lawan dan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada 22 Jun, jam 8 malam.

Menurut Tengku Mohd Fariz, semua pemain kembali melapor diri untuk latihan berpusat semalam dan bersemangat untuk menyambung latihan.

“Saya lihat kesungguhan pemain berlatih cukup tinggi dan hasil ujian dibuat, tahap kecergasan mereka juga baik walaupun baru kembali daripada bercuti.

“Dari segi sains sukan perlu latihan untuk tempoh panjang bagi kecergasan, namun persediaan kita agak terhad pada Ramadan sebelum ini dan berlatih hanya pada sebelah petang dan malam.

“Sekarang di luar bulan puasa, latihan dari pagi hingga petang dan pemain kita sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, mengulas kemenangan Hong Kong ke atas Korea Selatan, 47-10 semalam, Tengku Mohd Fariz berkata, ketua jurulatih Bradley Moni Mika sudah mencongak strategi ampuh bagi berdepan juara bertahan itu hasil penelitian video perlawanan semalam.

“Bagi saya secara teori kita perlu tutup ruang supaya pemain mereka terutama Conor Hartley yang mencipta tiga ‘try’ susah dapat bola dan melakukan larian mudah.

“Bila dapat tutup ruang, mereka juga sukar merancang gerakan. Jadi ini diterapkan kepada barisan pertahanan kita supaya naik dengan cepat dan tutup ruang,” katanya.

Sementara itu, biarpun mengakui kehebatan lawan, Tengku Mohd Fariz berkata, persediaan skuad negara amat positif keseluruhannya.

“Secara realiti sukar mengalahkan mereka yang ada pertahanan baik. Jika menang satu bonus dan sejarah untuk kita.

“Namun saya yakin kita mampu perbaiki keputusan tahun lalu tambahan keserasian pemain semakin mantap.

“Dalam kem latihan, kita juga sentiasa terapkan moral semua pemain bahawa sasaran kita ke Hong Kong untuk menang bukan sekadar menyertai pertandingan di peringkat premier supaya mempunyai keyakinan mampu bersaing walau apapun termasuk saiz fizikal lawan,” katanya.

Untuk rekod dalam kempen ARC 2018, Malaysia tewas kepada Hong Kong, 52-14 di Namdong Asiad Stadium, Incheon dan 16-38 di SNBJ.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 8:24pm
d