arena

'Tak boleh cuti lama sangat...'

Oleh Firdaus Hashim

SELANGOR kembali fokus kepada persiapan menghadapi saingan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, pada 15 Jun ini selepas berakhirnya cuti hari raya.

Ketua jurulatih, B Sathianathan berkata, pemain terpaksa bercuti dalam tempoh singkat kerana mereka mempunyai tugas besar menggalas cabaran pasukan bagi memperbaiki kedudukan di mana Red Giants ketika ini menghuni tangga kelima liga berkongsi 22 mata bersama Kedah dan Melaka United di kedudukan ketiga dan keempat.

Katanya, persiapan lebih rapi perlu dilakukan kerana cabaran menentang Kuala Lumpur bukan mudah walaupun anak buahnya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Kami perlu segera kembali ke padang latihan bagi mempersiapkan pasukan kerana Kuala Lumpur bukan lawan mudah terutama selepas diambil alih oleh Chong Yee Fatt.

“Tambahan pula sejak beliau membimbing Kuala Lumpur mereka berjaya mencatat beberapa kemenangan hingga berjaya keluar daripada zon penyingkiran yang menandakan bahawa mereka sudah jauh meningkat daripada sebelumnya.

“Pemain perlu lupakan seketika sambutan perayaan demi memastikan fokus diberikan kepada saingan liga dan misi memburu kedudukan tiga terbaik liga berjaya dilaksanakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 6:01am
d