arena

Brazil 'mengamuk' sebelum Copa

Oleh Reuters

GABRIEL Jesus meledak dua gol dan David Neres melakar gol antarabangsa pertamanya ketika Brazil membelasah Honduras 7-0 dalam aksi persahabatan pra-Copa America awal pagi tadi.

Penyerang Manchester City Jesus membuka jaringan selepas enam minit menerusi tandukan dan Thiago Silva menggandakan kelebihan itu tujuh minit kemudian.

Perlawanan itu boleh dianggap berakhir selepas setengah jam apabila Romell Quioto dilayangkan kad merah kerana mengasari Artur, yang kemudiannya dibuang padang.

Philippe Coutinho menjaringkan gol ketiga menerusi penalti pada minit ke-37 dan tidak bernasib baik untuk menggandakan jaringan peribadi apabila dua percubaannya melepasi gawang lawan.

Jesus meledak gol keempat dua minit selepas separuh masa kedua dan Neres, kali pertama mewakili pasukan kebangsaan, menjadikan kedudukan 5-0 dengan jaringan cantik pada minit ke-56.

Pemain gantian Roberto Firmino menambah gol keenam selepas minit ke-65 dan Richarlison menjadikannya tujuh, 20 minit sebelum tamat perlawanan ketika tuan rumah beraksi selesa di depan 16,000 penyokong di Porto Alegre.

“Kami bermain dengan baik dalam dua aksi persahabatan terakhir,” kata Jesus.

“Kami mengukuhkan aksi dan gaya permainan kami. Saya fikir ia memberikan anda keyakinan dan apa yang kami miliki bermakna kami boleh teruskan apa yang dilakukan.”

Kemenangan itu persediaan sempurna buat pasukan tuan rumah sebelum memulakan kempen Copa America menentang Bolivia di Sao Paulo pada 14 Jun.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 12:57pm
d