arena

The Fighters tak rela tercicir tiga mata

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC yang menghuni tangga tercorot Liga Super sedia mengecewakan PKNS FC dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat ini.

Pemain tengah The Fighters, S Chanturu berkata, pasukan itu perlu meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga. "Ketika ini, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan dan perlu dimulakan dengan mengutip tiga mata apabila melayan kunjungan skuad Datuk K Rajagobal itu.

"Setakat ini, kami hanya mencatat satu kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan daripada 14 perlawanan.

"Oleh itu, kami tiada lagi pilihan lain iaitu memastikan kita menang semua baki lapan perlawanan bagi mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan," katanya.

Chanturu, bekas pemain kebangsaan berkata, kembalinya beberapa pemain yang sudah pulih daripada kecederaan dilihat mampu membantu FELDA United kembali ke prestasi sebenar.

Katanya, pengalaman dan kesungguhan rakan sepasukan boleh membantu FELDA United melakar kemenangan.

"Kapten pasukan (Hadin Azman) dan penyerang (Khairul Amri Mohd Kamal) sudah pulih daripada kecederaan dan akan kembali memantapkan pasukan.

"Pada masa sama, kami juga perlu fokus pada aksi separuh akhir Piala FA berdepan Kedah pada 23 dan 29 Jun ini," katanya yang menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 2:51pm
d