arena

'Henderson dalam kalangan kapten terhebat Liverpool...'

Oleh Liverpool FC

KONSISTEN dan tidak mementingkan diri sendiri.

Itulah dua aspek dipamer oleh Jordan Henderson sepanjang kariernya bersama Liverpool dan sudah pasti akan tersenarai dalam kalangan pemain terhebat Liverpool, kata bekas pemain, Jan Molby.

Pemain tengah itu muncul kapten kelima dalam sejarah Reds menjulang Piala Liga Juara-Juara (UCL/Piala Eropah) selepas Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur pada final di Madrid, awal bulan ini.

Pada pandangan Molby, Henderson berhak menjulang Piala UCL di Estadio Metropolitano selepas mempamer semangat dan dedikasi tinggi selama lapan tahun beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Orang biasa terlepas pandang pemain seperti dia (Jordan)," kata pemain hebat Denmark itu yang membuat sebanyak 292 penampilan bersama kelab itu antara 1984-95 kepada portal rasmi Liverpool, hari ini.

"Bersama Kelab Bolasepak Liverpool, kami bangga dengan sejarah kami dan jika lihat pada semua pasukan hebat sebelum ini, kita dapat menamakan pemain handalan yang berada dalam saingan setiap minggu, mempamer aksi setiap minggu, melalui sejarah dan akhirnya menjadi pemain hebat.

"Sekali Jordan tiada, peminat akan melihat kekosongan ditinggalkannya dan terfikir, 'Oh wow'."

Piala Eropah mewakili piala utama pertama dimenangi oleh Henderson sejak dia mengambil alih lilitan kapten daripada Steven Gerrard pada Julai 2015.

Molby turut memuji personaliti menarik dimiliki oleh pemain berusia 28 tahun itu yang menyatukan pasukan kendalian Jurgen Klopp.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 5:53pm
d