arena

Pemain lebih suka beli kasut baharu: Tsukitate

Oleh BERNAMA

KETUA jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate percaya negara itu perlu mempertingkatkan liga domestiknya untuk bersaing dengan pasukan handalan di rantau ini.

Warga Jepun berusia 59 tahun itu berkata, pasukan kebangsaan Thailand, Vietnam dan Malaysia meningkat kerana kewujudan liga tempatan yang baik, maka pasukan di tangga ke-195 dunia itu perlu mempertingkatkan liga tempatannya supaya setara dengan negara lain.

“Sudah tentu ia memerlukan duit, jurulatih dan kemudahan. Jika Timor Leste boleh mengubah keadaan (liga) domestiknya, kami boleh menjadi pasukan kebangsaan yang kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan kedua menentang Malaysia, malam esok.

Pada perlawanan pertama, playoff Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jumaat lalu, pasukan bimbingannya tewas 1-7 di tangan Malaysia yang menghuni ranking ke-168 dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tsukitate berkata, peluang pasukannya mara pada kejohanan itu hampir tiada tetapi beliau mahu anak buahnya meningkatkan persembahan mereka pada aksi kedua di gelanggang sama esok.

Beliau berkata, beberapa pemainnya demam selesema dan batuk tetapi berharap mereka beraksi dengan lebih baik esok.

Tsukitate mengakui ada pemain muda skuadnya tidak sedar mengenai kepentingan kejohanan itu kerana mereka lebih berminat membeli-belah dan membeli kasut baharu sebaik tiba di Malaysia.

“Ini mentaliti yang tidak bagus. Sekarang mereka memahami kepentingan perlawanan ini. Kini mereka belajar daripada pengalaman untuk Sukan SEA dan kejohanan lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 10:13pm
d