arena

Terengganu masih menanti Camilo...

Oleh Malik Muhamad

IMPIAN Terengganu FC (TFC) menggunakan khidmat pemain import baru, Luis Gustavo Camilo berdepan Melaka pada aksi Liga Super Sabtu ini, mungkin tidak kesampaian apabila pemain itu belum lagi tiba.

Malah tarikh sebenar pemain pertahanan kelahiran Brazil itu tiba menjalani latihan bersama skuad Penyu juga menjadi tanda tanya ketika berbaki empat hari sebelum menentang skuad Hang Tuah di Stadium Hang Jebat.

Penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik berkata, setakat ini beliau tidak dimaklumkan tarikh pemain itu akan tiba menjalani latihan bersama pasukan.

Namun, usaha membawa pemain Brazil itu menggantikan Igor Zonjic dari Montenegro yang digugurkan kerana prestasi tidak konsisten masih dalam proses kerana Camilo belum menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

“Camilo sepatutnya sudah hadir menjalani latihan bersama dengan kita bermula minggu lalu tetapi disebabkan pemain terbabit belum mendapat ITC menyebabkan hasrat itu tertangguh.

“Dia juga mungkin tidak dapat diturunkan pada pertemuan menentang Melaka Sabtu ini dan Perak pada 18 Jun dengan kedua-dua perlawanan di tempat lawan.

“Lagipun pemain itu perlu menjalani latihan terlebih dahulu bersama dengan pemain lain jika tiba dalam masa terdekat. Camilo juga perlu memahami corak dan taktikal kita sebelum diturunkan,” katanya.

Mohamad Nik ditemui pada aksi persahabatan Terengganu FC II (TFC II) malam tadi berkesudahan TFC menang 1-0 hasil jaringan Khairu Azrin Khazali pada babak kedua perlawanan.

Mohamad percaya dengan bantuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Camilo akan tiba secepat mungkin ke negara ini.

“Mungkin pihak FAM dan MFL akan berusaha membantu mendapatkan ITC secepat mungkin kerana kehadiran pemain pertahanan itu penting bagi kami memperkuatkan jentera pertahanan pasukan ketika saingan berbaki tujuh perlawanan,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 5:32pm
d