arena

Beri peluang pemain muda: Choong Hann

Oleh Ferzalfie Fauzi

PENGARAH kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann mengakui mereka perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap pemain muda perseorangan lelaki.

Menurutnya, bermula dari sekarang tenaga muda harus diberi perhatian sepenuhnya berbanding mengharapkan kepada pemain senior.

“Kita ketinggalan dengan negara lain dan banyak perlu dilakukan untuk ketengahkan pemain muda seperti Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ketiga-tiga perseorangan lelaki bawah 19 tahun itu berlatih bersama pemain senior sejak dinaikkan dari skuad remaja Januari lalu.

Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang masa depannya masih tidak menentu selepas dikesan menghidap kanser hidung tahun lalu, aksi perseorangan lelaki hanya bergantung kepada pemain ranking ke-20, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven (72) dan Cham June Wei (91).

“Tze Yong, Aidil dan Chong King menunjukkan tingkah laku yang baik dalam latihan dan mereka mempunyai keinginan tinggi untuk meningkatkan prestasi.

“Malah mereka diberi peluang untuk melakukan sesi tambahan ketika di gimnasium dan di gelanggang bagi mengejar pemain senior yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

“Mereka membuktikan kepada pemain senior hanya kerja keras mampu menjamin tempat dalam skuad kebangsaan dan ini satu peringatan kepada semua orang bahawa BAM hanya akan mengekalkan pemain terbaik,” kata Choong Hann.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 8:54pm
d