arena

Gol sendiri selamat maruah Iran

Oleh Reuters

GOL sendiri Kim Young Gwon membolehkan Iran seri 1-1 dengan Korea Selatan di Seoul, malam ini ketika Marc Wilmots meneruskan permulaan tanpa kalah sebagai ketua jurulatih baharu pasukan yang layak lima kali ke pusingan akhir Piala Dunia itu.

Hwang Ui Jo meletakkan Korea di depan pada minit ke-58 apabila kesilapan pertahanan Iran menyaksikan Milad Mohammedi dan Morteza Pouralighanji berlaga sesama sendiri ketika mereka cuba mengekang kemaraan Lee Yong.

Ketika dua pemain Iran itu terjatuh, penyerang Gamba Osaka itu mempunyai masa dan ruang untuk meluru ke arah gol dan merembat masuk melepasi jangkauan Alireza Beiranvand.

Namun Korea hanya mampu mendahului selama lima minit apabila Young Gwon tertampan masuk sepakan sudut Ahmad Nourollahi melepasi penjaga gol Cho Hyun Woo bagi memastikan perlawanan itu berakhir seri.

Bulan lalu Wilmots menggantikan Carlos Queiroz, yang mengemudi Iran layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 dan 2018, meraih kemenangan pertamanya apabila Iran membenam Syria 5-0 di Stadium Azadi, Tehran, Khamis lalu.

Namun pertembungan dengan Korea menghadirkan ujian getir pertama buat bekas jurulatih Belgium itu, ketika kedua-dua negara bersiap sedia bagi fasa kedua kempen kelayakan Piala Dunia zon Asia, yang bermula September ini.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 11:36pm
d